Ads Space

Hadiah Merdeka!

No comments

Hadiah Merdeka!

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Pasukan bawah 16 tahun negara (B-16) menunjukkan peningkatan apabila muncul juara Kejohanan Piala AFF B-16 di Naypyitaw, Myanmar, menewaskan Indonesia 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi sebenar final kelmarin.

Ia kali pertama Malaysia memenangi kejohanan itu sekali gus mencetuskan keyakinan buat jurulatih S Balachandran mengenai kemampuan anak buahnya yang bakal mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia B-16 di Vietnam pada 21-29 September ini.

“Kemenangan ini atas usaha keras pemain yang menunjukkan kesungguhan untuk menjadi juara. Pemain mengikut sistem permainan yang kita terapkan dan mereka mempamerkan permainan menyerang yang menarik,” kata Balachandran.

Malaysia yang muncul juara Kumpulan B kejohanan itu menewaskan Vietnam 1-0 pada separuh akhir untuk menempah pertemuan dengan Indonesia.
FotoPEMAIN B-16 negara ceria bersama piala kejohanan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Dalam aksi perlawanan akhir itu, Indonesia terlebih dulu membuka tirai jaringan pada minit ke-28 hasil jaringan Gatot Wahyudi yang menggelecek dua pemain pertahanan Malaysia sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Mohd Haziq Nazli.

Pada separuh masa kedua, skuad muda negara lebih banyak untuk mencari gol penyamaan dan usaha mereka itu membuahkan hasil apabila memperoleh sepakan penalti selepas Muhammad Najmuddin Samat dikasari pemain lawan dalam kotak penalti.

Pemain tengah Muhammad Shahrul Adnan yang ditugaskan mengambil sepakan itu tidak berdepan masalah menyempurnakannya bagi mengheret perlawanan ke sepakan penalti yang akhirnya dimenangi skuad negara dengan keputusan 3-2.

Ini kali pertama Malaysia memenangi kejohanan bawah umur itu sejak dipertandingkan pada 2002 di mana pencapaian terbaik negara pada 2008 apabila muncul pemenang tempat ketiga dengan menewaskan Singapura 3-0.

Sementara itu Australia menduduki tangga ketiga pada kejohanan kali ini dengan menewaskan Vietnam menerusi penentuan sepakan penalti 7-6 selepas kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan pada masa sebenar permainan.

 

No comments :

Post a Comment