Ads Space

Terus berteka-teki

No comments

Terus berteka-teki

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Kuala Lumpur: Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus berteka-teki mengenai kedudukan gandingan itu, sama ada masih terus bersama atau tidak lagi bergelar pemain kebangsaan dengan menukar status mereka kepada profesional.

Kien Keat-Boon Heong dilapor ke Kota Bharu, Kelantan selepas menjalani latihan di Bukit Kiara kelmarin, bertemu Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

Motif pertemuan itu tidak diketahui, sama ada mereka bertemu Tengku Mahaleel untuk menghantar surat meminta dilepaskan atau presiden itu meminta penjelasan daripada kedua-dua pemain terbabit mengenai prestasi serta menyelidik masalah yang dialami gandingan itu.

“Ya, kami bertemu Tengku Mahaleel semalam (kelmarin),” kata Boon Heong ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Begitupun ketika diminta mengulas mengenai topik dibincangkan, Boon Heong memberi reaksi: “Tidak boleh cerita lagi kerana presiden tidak beri kebenaran.” Daripada nada disuarakan Boon Heong itu, ada bayangan kemungkinan gandingan itu akan kekal bersama BAM, malah akan turut kekal sebagai satu gandingan, sekali gus tiada perubahan yang mungkin mengubah lanskap badminton negara selepas ini.

Begitupun, BAM menerusi Pengurus Besar, Kenny Goh mengesahkan yang gandingan itu tidak lagi tersenarai ke Siri Super Terbuka Jepun pada 17 hingga 22 September ini.

Justeru, hanya Datuk Lee Chong Wei dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying akan mengibar cabaran negara untuk mempertahankan kejuaraan dimenangi tahun lalu.

 

No comments :

Post a Comment