Ads Space

ATM sasar juara Divisyen Dua

No comments

ATM sasar juara Divisyen Dua

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Barisan pemain berpengalaman menjadi senjata utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengungguli Divisyen Dua Kejohanan Hoki Piala Razak di Stadium Hoki Kuantan, bermula esok.

Selepas gagal menyerlah musim lalu, skuad bimbingan Kamaruddin Isman melaungkan azam merangkul kejuaraan seterusnya dan kembali bersaing di divisyen satu musim depan.

Kamaruddin berkata, hampir keseluruhan pemain yang tersenarai musim ini muka lama yang membawa cabaran ATM pada saingan tahun lalu.
Menurutnya, pengalaman 12 pemain yang terpilih mewakili negara di pentas antarabangsa turut diharap menjadi kelebihan pasukan.

“Saya harap misi menjulang kejuaraan seterusnya melangkah ke divisyen satu musim depan menjadi kenyataan selepas membuat persiapan rapi lebih sebulan lalu selain turut mengadakan perlawanan persahabatan.

“Semangat tinggi pemain turut menguatkan lagi keyakinan saya bahawa ATM akan menyerlah musim ini,” katanya semalam.
Beliau berkata, episod hitam ATM yang gagal menyerlah memberi pengajaran berguna buat pasukan untuk bangkit biarpun menghadapi saingan sengit berdepan Selangor.

“Tumpuan utama kita memperkuatkan benteng selain menajamkan jentera serangan. Jika dua posisi ini cemerlang, kejayaan pasti lebih mudah diraih.
“Untuk menghasilkan lebih banyak gol, saya memperkemaskan pukulan sudut penalti menerusi pelbagai kombinasi teknikal,” katanya.

No comments :

Post a Comment