Beregu badminton, Nicol David dinobat Olimpian 2014
Beregu badminton negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong serta ratu
skuasy negara, Datuk Nicol David dinobatkan sebagai Olimpian Lelaki dan
Wanita 2014 Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.
Beregu tersebut dipilih atas pencapaian dua pingat emas dalam
acara berpasukan dan beregu di Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland
dan dua pingat gangsa dalam acara sama pada Sukan Asia 2014 di Incheon,
Korea Selatan.
V Shem dan Wee Kiong menjadi beregu badminton negara keempat
merangkul anugerah tersebut selepas Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1996),
Chong Tan Fook-Lee Wan Wah (2000) dan Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong pada
2006.
Nicol pula merangkul gelaran ketiganya selepas 1998 dan 2010.
Nicol pula menjadi pilihan Jawatankuasa Anugerah MOM pada tahun
ini apabila memenangi dua pingat emas individu dan berpasukan di Sukan
Asia dan satu emas acara berpasukan di Sukan Komanwel.
Begitupun, Nicol tidak dapat hadir pada majlis penyampaian
tersebut kerana bersaing pada Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2014 di
Mesir.
Anugerah itu diterima oleh Naib Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Linda Geh manakala Wee Kiong mewakili V Shem.
Kedua-dua anugerah itu masing-masing membawa ganjaran RM10,000 dan
pingat khas oleh penaja Coca-Cola yang disampaikan oleh Presiden MOM,
Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.
Sementara itu, Wee Kiong menyifatkan pengiktirafan itu sebagai
suntikan semangat kepada gandingan itu untuk terus maju dan melayakkan
diri ke Sukan olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Katanya kerjasama dan komunikasi yang baik antara beliau dan V
Shem bakal menjadi kunci kejayaan mereka pada Sukan Olimpik 2016.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengurus Besar Coca-Cola bagi rantau Singapura-Malaysia-Brunei, Gill McLaren.
Anugerah Olimpian adalah acara tahunan yang dianjurkan MOM sejak
1993 untuk mengiktiraf pencapaian atlet lelaki dan wanita negara. -
Bernama
No comments :
Post a Comment