• Nasharudin Mat Isa
    Nasharudin Mat Isa
1 / 1
BANGI – Kemunculan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Timur Tengah dipercayai didalangi oleh kuasa besar dunia.

Pengerusi Yayasan Nassar, Nasharudin Mat Isa berkata, kebangkitan Islam sebelum ini di beberapa negara di rantau itu menyebabkan kuasa besar dunia merencanakan sesuatu untuk menghentikan kebangkitan tersebut.

“Apabila berlaku Arab Spring dan kebangkitan di Tunisia dan beberapa negara Teluk, terserlah perkembangan Islam yang sememangnya tidak disenangi oleh negara luar dan beberapa negara Islam sendiri.

“Kemenangan Islam melalui proses demokrasi tidak disenangi oleh pihak-pihak ini. Maka diwujudkan satu suasana untuk gambarkan Islam ini sebagai agama yang buruk dan membawa elemen keganasan,” katanya dalam Forum Jihad dan Negara Islam (IS): Merungkai Persoalan di Universiti Kebangsaan Malaysia, semalam.

Menurutnya, suasana tersebut diwujudkan bagi mengendurkan usaha kebangkitan Islam ke seluruh dunia yang akan menggugat kuasa besar tersebut.

“Di Turki contohnya, sebelum ini kita ketahui betapa sekularnya Turki. Tetapi sekarang, apabila saya ke Turki di lapangan terbang negara itu, masuk saja waktu Zuhur, ramai yang menunaikan solat. Ini menunjukkan kesedaran agama yang semakin tinggi.

“Apabila ada kesedaran agama yang tinggi ini, maka ia tidak disenangi oleh kuasa-kuasa besar, sebab itu mereka rancang perkara sebegini,” katanya.

Nasharudin juga percaya kewujudan IS sebagai usaha kuasa besar untuk menyelinap masuk ke negara-negara Islam yang mempunyai pelbagai sumber kekayaan bahan mentah dan mineral.

“Mereka rancang untuk terus menerus timbulkan keadaan tidak stabil di Timur Tengah. Keinginan kuasa besar di (rantau itu) adalah tinggi kerana mempunyai banyak sumber kekayaan.

“Apabila negara Barat timbulkan masalah, mereka akan hantar tentera (ke Timur Tengah) atas alasan keselamatan. Tetapi lebih jauh daripada itu adalah untuk memudahkan kukuh tapak mereka di negara-negara Islam,” katanya.