• logo mic
1 / 1
KUALA LUMPUR - Lima ahli Wanita MIC Wilayah Persekutuan dianggap meletak jawatan daripada jawatankuasa majlis negeri setelah gagal menghadiri empat mesyuarat majlis itu secara berturut-turut.
 
Mereka ialah G. Thanalakshmy (Bahagian Batu), N. Letchumi (Bahagian Seputeh), S.Rathnaswari (Bahagian Setiawangsa), V. Saratha (Bahagian Bandar Tun Razak) dan S. Anjalai (Bahagian Kepong).
 
Ketua Wanita MIC Wilayah Persekutuan, S.Kogilam berkata kelima-lima mereka juga tidak menghadiri mesyuarat agung tahunan cawangan wanita 2014 tanpa memberi sebarang penjelasan atau sebab.
 
"Keputusan sebulat suara ini diambil pada mesyuarat Majlis Perhubungan Negeri pada 29 Ogos, yang menggesa agar tindakan diambil terhadap kelima-lima wanita itu.
 
"Ini dibuat berdasarkan Undang-undang Kecil Cawangan Wanita MIC 2003 -Undang-undang Kecil 53, yang menyebut bahawa seseorang anggota yang tidak menghadiri tiga mesyuarat secara berturut-turut, tanpa memberi penjelasan atau sebab yang boleh diterima, dianggap secara automatik melepaskan jawatan dalam majlis itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
 
Kogilam berkata, lima wanita berkenaan diberi surat rasmi tentang keputusan majlis itu untuk menghalang wujudnya 'budaya memanaskan kerusi' dan untuk membawa transformasi kepada cawangan wanita parti itu. - Bernama