Ads Space

Rahsia lori terbalik

No comments
FotoLORI membawa tiga tangki diesel terbalik, semalam.


Shah Alam: Rahsia pemandu lori tiga tan menyembunyikan tindakannya membawa tangki berisi diesel terbongkar selepas kenderaan itu terbalik kira-kira 300 meter dari Plaza Tol Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA), di sini jam 3 petang semalam.
Kejadian itu mengejutkan kebanyakan pengguna yang melalui kawasan kemalangan apabila diesel yang diisi dalam tangki itu tumpah dan mengalir di atas lebuh raya.
Seorang saksi, Amin Narawi, 30, berkata, kejadian berlaku selepas lori membawa bahan api berkenaan terbabit dalam kemalangan apabila ia bertembung sebuah kenderaan berat lain ketika memasuki susur keluar lebuh raya sebelum ia terbalik.

Berikutan itu, sebuah trak penunda cuba mengalihkan kenderaan dan ketika ia diangkat ketiga-tiga tangki berkenaan terjatuh menyebabkan diesel tumpah atas jalan.

“Lori berkenaan dipercayai dari Lebuhraya Kesas ke Shah Alam sebelum ia terbabit nahas ketika tangki plastik besar itu terjatuh saya dapat melihat beberapa paip yang diubahsuai turut kelihatan di dalam lori itu.


“Kejadian berlaku kira-kira 50 meter di depan saya dan saya tidak menyangka lori berkenaan membawa diesel. Pemandu lori itu tidak cedera kerana sempat keluar sejurus lori berkenaan terbalik,” katanya.

Katanya, lori berkenan dipercayai sudah diubah suai untuk membawa muatan berkenaan berdasarkan saluran paip yang dipasang pada tangki yang dibawa.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDNKK Selangor Othman Nawang berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat berhubung lori yang terbabit dalam kemalangan itu membawa diesel secara haram.

Bagaimanapun, pihaknya akan bekerjasama dengan polis untuk mengesan syarikat lori berkenaan untuk menyiasat sama ada mereka mempunyai kebenaran membawa diesel atau sebaliknya.

“Walaupun pengguna curiga dengan muatan diesel yang dibawa lori berkenaan selain terdapat paip yang diubah suai, pihak penguatkuasaan KPDNKK tidak boleh mengambil tindakan ke atas perkara itu (pengubahsuaian paip).

“Sesuatu tindakan hanya boleh dibuat kepada mana-mana pihak yang membawa diesel tanpa kebenaran sekiranya KPDNKK mempunyai bukti aktiviti berkenaan dilakukan. Jadi kita akan siasat terlebih dulu syarikat berkenaan sama ada diberi kebenaran untuk membawa diesel atau tidak sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Othman berkata, KPNDKK mengalu-alukan kerjasama dan maklumat daripada orang ramai sekiranya mengetahui mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan menyeludup diesel agar tindakan segera dapat diambil.

No comments :

Post a Comment