Cinta Pandang Ke-2 Episode 1
Cinta Pandang Ke-2 Episode 1
Sinopsis dari penulis novel
Di sini ZAIRUL HASMAT, seorang mat despatch mencari cinta dan harga diri
yang telah hilang. Dia merantau hingga ke Tokyo untuk mengembalikan
harga sebuah kepercayaan yang telah dikhianati. Namun kepulangannya
tidak juga berjaya melupakan semua yang telah ditinggalkan.Bayangan
kenakalan silam yang merobek hati seorang ayah bersama cinta pertama
kepada gadis gemuk yang dilukakan hatinya telah menjadikan dia manusia
yang hidup dalam bayang-bayang silam.
Sumpahan cinta pertama menghantui dirinya walau dikelilingi ramai wanita jelita.
Katanya "Lelaki kalau hendak memikat, modalnya air liur saja.”
Di sana AINNUR AZLEEN, seorang gadis naif mencari cinta dan harga diri
yang telah hilang. Kegagalan cinta pertama membuatkan dia serik untuk
jatuh cinta lagi. Tetapi cinta itu tetap mengundang tanpa pamitan salam.
Cinta kedua rupanya juga membawa kecundang. Ke Newcastle jauh dia
membawa hati nan lara.
Katanya "Melihat si dia berbahagia, hatinya sudah berlagu ria."
Katanya lagi " DIA dan CINTA tidak akan ada titik pertemuannya. DIA dan
CINTA tidak akan ada jodoh bersama." Lalu dia belajar untuk bahagia
tanpa CINTA dan DIA.
Seorang ke Tokyo dan seorang ke Newcastle. Masing-masing ada cerita
sendiri.Masing-masing ada hidup sendiri. Selepas berbelas-belas tahun
rupanya mereka bertemu kembali di bawah satu bumbung yang sama. Di
situlah segala yang disimpan tersingkap perlahan-lahan. Zairul Hasmat
bertemu kembali dengan Ainnur Azleen. Masing-masing cuba menyembunyikan
identiti diri di zaman silam.Kedua-dunya sedar, mereka pernah bermusuh
dan bersengketa. Ainnur bahagia dengan permainan yang sedang diaturnya.
Namun Zairul terpaksa mengalah, bimbang cinta pertama yang pernah
berputik hanya akan memakan dirinya sendiri.
Di Phuket satu kejadian tidak disangka telah menguji cinta sejati.
Ainnur telah diperangkap oleh bekas pensyarahnya yang mahu membalas
dendam kepada ibu Ainnur. Ainnur dipenjarakan di Phuket. Tatkala dilanda
musibah, hanya Zairul yang ada untuk membantu. Tanpa disangka, Ainnur
mengaku yang Zairul adalah suaminya. Zairul tiada pilihan selain dari
meneruskan drama yang dicipta Ainnur. Dia berusaha untuk membebaskan
Ainnur dari penjara dengan mengahwini gadis itu pada majlis akad jarak
jauh.
Zairul berjaya membawa Ainnur pulang. Tetapi kepulangan mereka telah
menyingkap segala. Rupanya mereka berdua memang telah lama saling
menyintai. Hanya pada cinta pandang kedua segalanya menjadi nyata.
Kerana peristiwa itu, Zairul telah menemukan harga dirinya kembali. Dia
pulang sebagai anak yang akan mewarisi Venture Holding. Mat despatch itu
berjaya menyelesaikan semua kemelut di sana.
No comments :
Post a Comment