Ads Space

Ringgit, rupiah cecah paras terendah sejak krisis 2008/09

No comments
Ringgit, rupiah cecah paras terendah sejak krisis 2008/09





inggit Malaysia dan rupiah hari ini mencecah paras terendah sejak krisis kewangan dunia 2008/09 berikutan pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat (AS), didorong data ekonomi lebih baik yang meningkatkan kemungkinan Rizab Persekutuan akan menaikkan kadar faedah.

Mata wang serantau juga berhadapan tekanan berikutan data import dan eksport China yang lebih rendah, mencetus kebimbangan ekonomi kedua terbesar dunia itu semakin perlahan.

Dalam dagangan hari ini, ringgit sudah susut 0.9 peratus kepada 3.5040 bagi satu dolar AS, terendah sejak September 2009, berikutan kebimbangan bahawa harga minyak yang lebih rendah akan menjejaskan akaun semasa dan defisit fiskal kerajaan. Ringgit mencatat paras tertinggi tahun ini pada 27 Ogos lalu, dengan tukaran RM3.1463 bagi setiap dolar AS.

Pada penutupan jam 5 petang hari ini ringgit ditutup pada 3.4940/4960 bagi satu dolar AS daripada 3.4695/4725 pada Jumaat minggu lalu.

Ahli Ekonomi RHB Research, Shafizal Shafaai, berkata ringgit dijangka kekal lemah dalam lingkungan RM3.30 hingga RM3.45 bagi setiap dolar AS atau mungkin melebihi paras itu dalam jangka terdekat disebabkan reaksi berlebihan terhadap kejatuhan harga minyak.

"Kami berpandangan ringgit akan berada pada purata RM3.30 bagi setiap dolar AS pada 2015, disokong lebihan akaun semasa yang mapan dalam baki pembayaran, walaupun kerajaan mungkin berpotensi tidak mencapai sasaran defisit fiskalnya tahun depan," katanya.

Ahli Strategi AmResearch, Benny Chew pula berkata kejatuhan mendadak harga minyak meletakkan sasaran defisit fiskal tiga peratus bagi 2015 berada dalam tekanan berikutan hasil petroleum menyumbang kira-kira 30 peratus pendapatan kerajaan.

Dalam pada itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat campur tangan untuk mengehadkan penurunan ringgit, kata peniaga.

"Pembabitan BNM dalam pasaran (mata wang) bertujuan memastikan keadaan pasaran yang teratur," kata jurucakap BNM kepada Reuters.

Sementara itu, rupiah turut jatuh 0.6 peratus kepada 12,365 bagi satu dolar AS, terendah sejak November 2008, berikutan belian akhir tahun dolar daripada syarikat tempatan. Kejatuhan mata wang itu dikurangkan dengan campur tangan bank pusat Indonesia.

Baht Thailand juga jatuh rendah daripada paras psikologi 33.00 bagi satu dolar AS, terendah sejak Januari tahun ini, ketika ketegangan politik mencapai kemuncaknya.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 2.6388/6409 daripada 2.6348/6391 pada Jumaat minggu lalu dan susut berbanding pound British kepada 5.4374/4419 daripada 5.4325/4376 sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan mengukuh berbanding yen kepada 2.8812/8835 daripada 2.8848/8882 pada Jumaat dan naik berbanding euro kepada 4.2843/2871 daripada 4.2921/2969 sebelumnya.

No comments :

Post a Comment