Malaysia sah ke separuh akhir Piala Axiata 2014
Malaysia menempah slot ke separuh akhir selepas seri 2-2 dengan
Singapura pada perlawanan terakhir pusingan pertama Kejohanan Badminton
Piala Axiata 2014 di Britama Arena, Jakarta hari ini.
Juara bertahan itu layak apabila menduduki tangga keempat dengan
mengumpul 17 mata setelah menamatkan tujuh perlawanan dengan empat kali
menang, dua kali kalah dan satu seri.
Pada Isnin lepas, Indonesia muncul pasukan pertama mengesahkan tempat
ke separuh akhir selepas mengumpul 18 mata dengan memenangi empat
perlawanan dan satu seri.
Pada perlawanan pelengkap hari ini pula Indonesia menewaskan Thailand
3-1, manakala pasukan pilihan Asia mencatat kemenangan 3-1 ke atas
Filipina.
Pasukan pilihan Asia dan Thailand turut layak ke separuh akhir selepas masing-masing mengumpul 19 mata.
Keempat pasukan ini, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Pilihan Asia
bakal berentap di Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras di sini pada
Sabtu dan Ahad, manakala undian akan dilakukan Jumaat ini.
Pada perlawanan hari ini menentang Singapura, skuad badminton negara
memperoleh dua mata menerusi perseorangan lelaki dan pasangan beregu
lelaki.
Liew Daren diheret bermain 'rubber set' sebelum berjaya menewaskan lawannya Loh Kean Yew 18-21, 21-15 dan 21-19.
Liew yang tunduk pada set pertama, bangkit pada set kedua dan
mengekalkan rentak permainan agresif sebelum menamatkan set penentuan
yang mendebarkan untuk memastikan mata pertama diperolehi skuad negara.
Perseorangan wanita negara Tee Jing Yi bagaimanapun kecundang mudah
kepada Liang Xiaou Yu 8-21 dan 11-21, sekali gus membolehkan Singapura
menyamakan kedudukan.
Beregu lelaki negara, Tan Wee Keong-Tan Boon Heong menghadapi saingan
sengit apabila saling berkejaran mata sebelum kembali meletakkan
Malaysia di hadapan selepas mengalahkan Loh Kean Hean-Terry Hee Yong Kai
dengan 21-16 dan 21-17.
Misi mencari mata tambahan tersekat apabila gandingan beregu campuran
negara Chan Peng Soon-Lai Pei Jing tewas kepada pasangan Danny Bawa
Chrisnanta-Tan Wei Han dengan keputusan 12-21 dan 18-21.
Kejohanan tahunan ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$1 juta (RM3.42 juta).
Kejohanan edisi kali ini masih mengekalkan format sama merangkumi
lapan pasukan terdiri daripada enam negara dan dua pasukan jemputan
mewakili Asia dan Eropah. Selain Malaysia, kejohanan itu turut disertai
pasukan dari Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Singapura serta dua
pasukan jemputan, Bintang Asia dan Bintang Eropah. - BERNAMA
No comments :
Post a Comment