Hukuman berat kes fitnah siber
Hukuman berat kes fitnah siber
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mencadangkan
pesalah siber dikenakan hukuman penjara mandatori sekurang-kurangnya
tiga tahun dan sebat, bagi menangani kes fitnah alam maya yang semakin
membimbangkan.
Cadangan itu sudah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara selepas
suruhanjaya berkenaan mengakui hukuman setahun penjara atau denda
RM50,000 ke atas mereka yang disabit kesalahan mengikut Seksyen 211 dan
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tidak memadai.
Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SKMM, Datuk Mohamed
Sharil Mohamed Tarmizi, berkata hasutan tetap hasutan, sama ada menerusi
alam maya atau tidak dan kesalahan boleh dikenakan mengikut Akta
Hasutan.
Katanya, SKMM sedar perkara ini dan sudah berbincang dengan Jabatan Peguam Negara supaya penalti yang lebih berat digubal.
"Cadangan ini kini diteliti Peguam Negara dan ia diharap dapat dibawa
ke Parlimen, awal tahun depan. Cadangan muktamad akan datang dari
Jabatan Peguam Negara selepas undang-undang lain serta pihak berkaitan
dirujuk," katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam, bagi mengulas
laporan khas muka depan BH semalam mengenai fitnah alam maya.
No comments :
Post a Comment