Kerajaan tiada kuasa kawal harga rumah
-
Datuk Abdul Rahman Dahlan
PUTRAJAYA - Kerajaan tiada kuasa untuk mengawal harga rumah yang
ditentukan pasaran, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya berusaha menawarkan pelbagai
insentif bagi memastikan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah
mampu memiliki rumah.
Abdul Rahman berkata, fenomena kenaikan harga rumah bukan berlaku di negara ini sahaja, tetapi di seluruh dunia.
“Kerajaan tiada kuasa menentukan harga pasaran. Kita hanya boleh bantu kurangkan harga rumah dengan insentif.
“Walaupun harga rumah meningkat, kerajaan tetap respons dengan
mewujudkan banyak program seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia. (PR1MA)
dan MyHome,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa
Perumahan Negara (JPN), semalam.
Mengenai kenaikan harga rumah menjelang pelaksanaan cukai barangan dan
perkhidmatan (GST), Abdul Rahman berkata, menerusi kajian Persatuan
Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), harga rumah dijangka
meningkat antara dua dan tiga peratus sahaja.
“Kalau lebih tiga peratus, mereka boleh dikenakan tindakan Akta Pencatutan,” katanya.
Beliau, bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan pemaju menggunakan alasan lain bagi menaikkan harga rumah.
“Saya risau harga itu dinaikkan bukan kerana GST, tetapi kerana mahu
untung lebih. Mengikut perkiraan kita, hanya lebih kurang tiga peratus
sahaja kenaikan setelah mengambil kira kenaikan harga barang pembinaan.
“Kalau harga naik, laporkan kepada Jawatankuasa Pemantauan Harga GST
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,”
katanya.
Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak berhasrat mewajibkan konsep bina
kemudian jual (BKJ) seperti yang pernah diumumkan sebelum ini.
“Kita tidak berhasrat mewajibkan konsep BKJ kepada semua pemaju, kerana
kita khuatir jika diwajibkan pada masa GST dilaksanakan harga rumah
semakin melambung,” katanya.
Beliau meminta kerajaan negeri bekerjasama dengan syarikat milik
kerajaan seperti PR1MA bagi membolehkan mereka membangunkan rumah mampu
milik di negeri-negeri terlibat.
Katanya, kerajaan negeri sepatutnya tidak merebut dengan Kerajaan Pusat
berhubung senarai nama bakal penghuni kediaman mampu milik itu.
No comments :
Post a Comment