• Khairul Anwar Rahmat
    Khairul Anwar Rahmat
1 / 1
TAMPOI - Hasil kutipan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) boleh dimanfaatkan sewajarnya bukan saja untuk penyelenggaraan jalan di Johor bahkan mampu membantu kebajikan rakyat di negeri ini.

Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, peluang perlu diberikan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan untuk melaksanakan VEP secepat mungkin.

"Sekiranya Singapura kutip hasil sebanyak RM50 juta setahun, dalam tempoh 41 tahun, mereka telah kutip RM2 bilion. Bayangkan dengan RM2 bilion itu, apakah keindahan, kecantikan, penyelenggaraan yang mereka lakukan.

"Beri peluang kepada kerajaan negeri Johor, kerajaan Persekutuan jimatkan RM100 juta setahun untuk penyelenggaraan," katanya ketika menjadi panel pada Wacana Sinar Harian Siri ke-30, VEP: Apa Tunggu Lagi?, di sini, hari ini.

Namun katanya, jumlah RM100 juta itu juga boleh dijimatkan untuk kebajikan rakyat.

"Namun mungkin juga RM100 juta itu dijimatkan untuk perkara-perkara lain. Bayangkan berapa ramai rakyat Johor boleh dibantu?

"Kita bukan saja boleh selenggara jalan, kita boleh bantu orang susah, orang miskin, pelajar-pelajar, yatim piatu supaya kehidupan rakyat Johor lebih terpelihara," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menepis dakwaan bahawa cadangan pelaksanaan VEP itu bukan atas dasar balas dendam.

"...Apabila orang kata kerajaan cuba membalas dendam, saya kata itu tidak tepat. Kalau kita nak balas dendam, kita sudah lakukan 41 tahun yang lalu.

"Tapi kita di Malaysia ambil masa kerana kita baru bersahabat dengan Singapura, menggalakkan sektor pelancongan namun peredaran masa, kepentingan ekonomi mengatasi perkara-perkara lalu.

"Oleh itu, demi kepentingan umum, kita bersetuju mencadangkan VEP dilaksanakan dengan kadar segera," katanya.