• Seorang daripada suspek sedang mengira semula wang tunai milik mereka selepas ditangkap SPRM di Taman Segar, Cheras, semalam.
    Seorang daripada suspek sedang mengira semula wang tunai milik mereka selepas ditangkap SPRM di Taman Segar, Cheras, semalam.

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan 22 individu, termasuk 12 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia, yang disyaki terbabit dalam aktiviti rasuah dalam melepaskan barang seludup yang tidak diisytihar cukai.

Menurut sumber, seorang daripada 12 pegawai kastam yang ditangkap adalah Pengarah Kastam Negeri.

Difahamkan mereka ditahan dalam operasi khas secara besar-besaran di sekitar Lembah Klang.

Selain itu, SPRM turut merampas wang tunai daripada individu terbabit dan barang yang diseludup dari gudang pelabuhan.

"Sepuluh daripada mereka merupakan pemilik syarikat dan ejen-ejen mereka. Turut ditahan pemandu lori yang membawa barang-barang yang diseludup," katanya.

Sumber itu berkata, nilai ketirisan akibat aktiviti lari daripada cukai ini dipercayai mencecah ratusan juta ringgit.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengesahkan tindakan menahan kesemua suspek merupakan hasil pemantauan lebih setahun di kawasan Zon Perdagangan Bebas Cukai di Pelabuhan Klang.

Sindiket melibatkan transaksi rasuah kerana melindungi sindiket aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan kemudahan di Zon Perdagangan Bebas Cukai, Pelabuhan Klang.

“SPRM percaya tangkapan ini berjaya menumpaskan dalang yang terbesar dalam aktiviti penyeludupan rokok dan arak yang tidak dibayar duti kastam, di sebuah pelabuhan utama di Zon Perdagangan Bebas Cukai Pelabuhan Klang,” katanya.
Menurut Mohd Shukri, barang-barang yang tidak dibayar duti kastam itu terdiri daripada rokok dan arak. Ia diseludup keluar untuk pasaran dalam negara serta sebahagiannya turut dihantar untuk jualan di negara jiran secara haram.

Menurutnya, operasi bermula semalam dilaksanakan secara bersepadu diketuai SPRM bersama pasukan petugas khas. Turut menyertai operasi khas ini ialah Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan CyberSecurity.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Matrang Suhaili, menyifatkan tangkapan ke atas 12 pegawainya sebagai amat mendukacitakan.

"Kita tunggu perkembangan esok (hari ini)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.