Ads Space

Pejuang unggul

No comments

Pejuang unggul


Nelson Mandela dianggap sebagai seorang lelaki kulit hitam paling popular dalam sejarah.
Beliau mengatasi halangan bangsa untuk menjadi contoh semangat kemurahan hati manusia.
Personalitinya yang menjulang tinggi membolehkan pemindahan kuasa secara aman dilakukan di Afrika Selatan daripada minoriti kulit putih kepada pemerintahan majoriti kulit hitam.

Beliau dilahirkan dalam golongan bangsawan Afrika, keturunan diraja Thembu di Transkeiin pada 1918.
Foto
NELSON Mandela dilahirkan pada 18 Julai 1918 daripada suku bangsa Thembu di perkampungan Mvezo, Afrika Selatan.

Bapanya mempunyai empat isteri manakala ibunya adalah isteri ketiga.

Beliau yang pertama dalam kalangan keluarganya ke sekolah dan mendapat nama Nelson apabila salah seorang guru menukarkan nama asalnya, Rolihlahla kepada nama dalam bahasa Ing­geris.

Pada usia 19 tahun, beliau memasuki Universiti Fort Hare dan terbabit dalam politik pelajar termasuk menganjurkan aktiviti pemulauan.

Beliau turut menolak perkahwinan yang diaturkan pemimpin puak­nya dan kemudian menjalani latihan di firma guaman di Johannesburg.

Dia meneruskan kehidupannya di Alexandra dan memulakan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Witwatersrand dan mengenali rakan pelajar serta aktivis politik seperti Ruth First, Joe Slovo dan Harry Schwarz.

Parti Kebangsaan dominasi-Afrikaner mencapai kuasanya pada 1948 dalam pilihan raya Afrika Selatan.

Selepas itu, kerajaan­nya mula mengubah dasar pengasingan kaum yang sudah lama bertapak di negara itu.

Pada awal 1950-an, Mandela terbabit menentang aparteid. Dia dan rakan aktivis, Oliver Tambo menggerakkan firma guaman malah turut menawarkan khidmat nasihat dengan bayaran murah kepada penduduk setempat.

Sukar bagi generasi moden untuk memikirkan sejauh mana kehidupan orang kulit hitam Afrika Selatan di bawah dasar aparteid.

Mereka bukan saja dinafikan hak bersuara malah bangku taman, bas, pantai dan apa juga kemudahan awam diasingkan dan ditanda dengan ‘Whites Only’.

Hubungan seksual antara kaum dianggap jenayah. Kediaman peribadi dan pergerakan dibenarkan hanya dengan lesen, pembenci pula ‘lulus undang-undang’ de­ngan mudah.

Pihak polis, antara institusi kejam memberi layanan buruk kepada kaum kulit hitam terutama mereka yang mempunyai semangat dan aspirasi politik.

Pada Mac 1961, apabila pihak polis melepaskan tembakan ke arah perarakan secara aman di Sharpesville berdekatan bandar Johannesburg, 69 orang terbunuh.

Suara daripada segelintir orang kulit putih ibarat batu kecil di tengah penindasan kaum Afrikaner. Begitu juga Nelson Mandela dan rakannya menerusi Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC).

Mandela yang mengagumi Mahatma Gandhi ditang­kap dan didakwa sebagai pengkhianat bersama 150 yang lain pada 1956.

Perbicaraan maraton berterusan sehingga 1961 apabila semua defendan dibebaskan. Pengalaman itu jelas mengubah Mandela kerana yakin, orang kulit putih tidak akan menyerahkan kuasa secara aman.

Dia menjadi pemimpin sayap bersenjata ANC, Umkhonto we Sizwe - ‘Spear of the Nation’.

Selepas 17 bulan hidup sebagai pelarian, beliau ditahan hasil maklumat Agensi Perisik Pusat (CIA) Amerika Syarikat pada Ogos 1962.

Semasa perbicaraan, beliau menegakkan keadilan secara berani dan bermaruah hingga musuhnya berasa kagum.

Beliau membuat rumusan pembelaan menerusi kenyataan terkenalnya: “Sepanjang hidup, saya mengabdikan diri kepada perjuangan rakyat Afrika. Saya berjuang menentang penguasaan kulit putih dan penguasaan kulit hitam.

“Saya dihargai kerana pemikiran ideal mengenai masyarakat bebas dan demokratik yang memboleh­kan rakyat hidup bersama dalam suasana harmoni dan mendapat peluang yang sama.

“Ia adalah sesuatu yang ideal untuk dicapai. Tetapi untuk mendapatkannya memerlukan pengorbanan, justeru, saya bersedia mati untuknya,” kata Mandela.

Meskipun terlepas daripada hukuman gantung, beliau menghabiskan hukuman penjara selama 27 tahun, 18 tahun daripadanya di Pulau Robben berhampiran Cape Town.

Beliau bekerja keras di kuari kapur dan selama bertahun-tahun hanya dibenarkan menerima se­orang pelawat dan satu surat setiap enam bulan.

Namun, dalam keadaan yang luar biasa, Mandela diangkat sebagai simbol penderitaan ma­syarakatnya.

Pada 1985, presiden aparteid Pieter Willem Botha menawarkan Mandela kebebasan dengan meninggalkan perjuangan bersenjata.

Afrika Selatan menghadapi sekatan antarabangsa dan peningkatan masalah ekonomi.

Mandela menolak tawaran Botha dengan berkata: “Kebebasan apakah yang saya terima sedangkan suara rakyat masih diharamkan? Ha­nya lelaki bebas boleh berunding, banduan tidak.

Empat tahun kemudian, kesabarannya terbalas apabila Presiden Frederik Willem de Klerk menolak pengharaman ANC.

Pada 11 Februari 1990, Mandela berjalan ke dalam Cape Town tanpa sekatan, disorak dan disambut dengan penuh gembira bukan saja dalam kala­ngan masyarakat kulit hitam Afrika Selatan tetapi di seluruh dunia.

Ketegangan dan keganasan berlaku pada bulan dan tahun berikutnya, membolehkan Mandela berunding dengan de Klerk untuk kelahiran politik baru.

Pada 17 April 1994, pilihan raya pertama Afrika Selatan diadakan di bawah hak mengundi sejagat.

Banduan dari Pulau Robben menjadi presiden dengan mandat besar. Kuasa minoriti orang kulit putih, aparteid tinggal sejarah.

Selama 30 tahun Mandela ghaib daripada pandangan masyarakat dan tiada siapa tahu bagaimana pemimpin itu muncul dan menjadi orang penting di sebalik penjara.

Mandela memperlihatkan gabungan kekuatan dan kehormatan, kekuasaan dan kesederhanaan yang luar biasa.

Beliau mengajar erti kedamaian sosial dan bijak ekonomi. Tahap ketegasannya dikagumi negara yang memerhati.

Retoriknya sangat luar biasa meliputi kekuatan, akal dan kesopanan. Apabila memulakan perjalanan sebagai presiden, beliau mempesonakan pemimpin negara dan rakyat.

Beliau muncul sebagai jurucakap terkemuka di Dunia Ketiga mewakili wajah Afrika dan meninggalkan jawatan presiden pada 1999.

Di bawah rejimnya, kepimpinan ANC menjadi lambang rasuah seperti mana ia kekal hingga ke hari ini.

Ancaman AIDS merebak tanpa halangan, semakin teruk selepas penyerahan kuasa kepada bekas timbalannya, Thabo Mbeki yang menyangkal perubatan dan pendidikan AIDS kepada masyarakat.

Mandela diangkat hasil kejayaan luar biasa ke atas pemindahan kuasa politik kepada majoriti orang kulit hitam Afrika Selatan.

Walau bagaimanapun, beliau gagal memandang­kan tugas besar itu adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat yang mahukan pekerjaan, pendidikan dan berkongsi kekayaan dengan orang kulit putih.

Potensi pergolakan, ketidakstabilan nyata dilihat. Sebahagian dan sekurang-kurangnya perlu dikaitkan dengan Mandela yang gagal melindungi legasinya.

Dia menunjukkan dirinya sebagai pemerintah eksekutif yang lemah, gagal mengukuhkan pengaruh unik dan kuasa seperti yang pernah dilakukan.

Walaupun Afrika Selatan banyak memaparkan keganasan mengejutkan, ia adalah kemenangan peribadi Nelson Mandela kerana berjaya mengelakkan pelbagai bencana.

Beliau menjadi contoh kemaafan dan negarawan yang menjadi inspirasi kepada masyarakat dunia, diiktiraf dengan kepujian dan penghargaan global termasuklah Hadiah Keamanan Nobel 1993.

Beliau meninggal dunia pada malam tayangan filem perdana United Kingdom bertajuk ‘Mandela: Long Walk To Freedom’ yang menggambarkan perjuangan dan kebangkitannya.


INFO

10 fakta yang anda tidak tahu mengenai Nelson Mandela


  • Dia dikenali dengan nama Mandela berbanding nama sebenarnya, Rolihlahla dalam suku Xhosa bermaksud pengacau atau menarik cabang pokok.

  • Filem Malcolm X yang diterbitkan pada 1992 antara penghormatan yang diberikan kepada beliau kerana menentang dasar aparteid, malah turut memetik satu ucapan daripada filem terbabit.

  • Ahli sains menamakan burung belatuk prasejarah sempena namanya ‘Australopicus nelsonmandelai’ manakala pada 1973, institut fizik di Universiti Leeds menamakan zarah nuklear sebagai ‘Mandela particle’.

  • Mandela berkahwin dengan wanita yang memiliki gelaran ‘wanita pertama’ untuk dua negara. Graca Machel berkahwin dengan Presiden Mozambique, Samora Machel dan selepas kematian suaminya, Graca berkahwin pula dengan Mandela.

  • Penyamar terbaik. Untuk mengelakkan dirinya dicekup pihak berkuasa sewaktu melawan aparteid, beliau menyamar dalam pelbagai cara termasuklah sebagai pemandu hinggakan akhbar menggelarnya ‘The Black Pimpernel’ kerana taktik mengelak daripada polis.

  • Selain berpolitik, keghairahan Mandela adalah tinju. Bukan keganasan tinju yang diminatinya tetapi menjurus kepada sains mengenai taktik melindungi diri, serangan dan perjuangan, menurut biografinya dalam ‘Long Walk to Freedom’.

  • Hidangan yang paling digemari beliau adalah perut atau babat haiwan dari ladang.

  • Dia berhenti kerja untuk belajar undang-undang di Universiti Witwatersrand di Johannesburg dan membuka firma guaman kulit hitam pertama di bandar itu pada 1952.

  • Dia disenaraikan dalam senarai pengganas di bawah pemerhatian Amerika Syarikat kerana perjuangan militan yang menentang aparteid sehinggalah dasar itu dihapuskan pada 2008 ketika umurnya 89 tahun.

  • Beliau melakar inspirasi daripada puisi. Sewaktu di penjara, Mandela membacakan puisi William Ernest Henley bertajuk ‘Invictus’ kepada tahanan lain. Puisi itu mengenai tidak mudah putus asa yang boleh disaksikan menerusi sedutan filem yang dibintangi Morgan Freeman sebagai Mandela.

No comments :

Post a Comment