Drama Alam Maya Episode 1
Sinopsis :
Maya (Fouziah Gous) seorang gadis
berusia 22 tahun dan bekerja di salah sebuah syarikat media terbesar di
Malaysia. Sekali pandang, Maya gadis biasa dan tidak termasuk dalam
golongan gadis popular. Walaupun pendiam, namun Maya sebenarnya seorang
gadis sofistikated dengan caranya yang tersendiri.
Hakikatnya, Maya mempunyai perangai ‘gila-gila’ dan hanya rakan baiknya
Amman (Kamal Adli) saja yang tahu perangainya itu. Amman seorang
jurukamera dan hubungan mereka agak rapat. Namun, pendapat dan cita rasa
mereka amat berbeza dan sering tidak bersefahaman, tetapi Amman selalu
menepis egonya demi menjaga hati Maya.
Maya dibesarkan ibunya, Ramlah dan mempunyai seorang kakak bernama Lara.
Kehidupan Lara pula berbeza dan dia begitu obses dengan segala
pertandingan dan peraduan. Pantang terlihat pertandingan atau peraduan
sama ada di akhbar, majalah, TV atau radio, dia akan menyertainya.
Ibu mereka, Ramlah pula lebih selesa di
takuk lama dan enggan berubah. Walau cuba dinaikkan pangkat, Ramlah
enggan dan lebih selesa bertugas sebagai kerani akaun di pejabatnya.
Di pejabat, Maya serius dengan
tugasannya dan seorang pendiam. Namun berbeza di rumah apabila Maya
sebenarnya lebih suka bercerita, tetapi tiada siapa yang ingin melayan
kerenahnya. Sebab itulah dia melepaskan segala isi hatinya dengan
merakam penceritaannya sendiri ke dalam video. Kebanyakan cerita yang
dikongsikan dalam rakaman itu berkaitan dengan kehidupannya serta apa
yang difikirkan.
Suatu hari Amman terjumpa video yang
dirakam Maya dan tanpa disedari, Amman memuat naik video berkenaan ke
YouTube dan sejak itu kehidupan Maya mula berubah menjadi terkenal dan
popular.
Ramai yang memberi maklum balas positif
dan menanti pendapat dan reaksi Maya mengenai segala situasi yang
berlaku. Bagi mereka setiap cerita yang dirakam itu ikhlas dari hati
Maya sendiri dan bukannya lakonan.
Maya yang tidak tahu menahu mengenai
rakamannya sudah ditonton ramai itu menjadi bingung. Apatah lagi apabila
Amman memberitahu Maya dia orang yang bertanggungjawab melakukannya.
Maya kecewa kerana dia begitu mempercayai Amman sebagai rakan karibnya.
Konflik muncul menjadikan hubungan
mereka dingin seketika, namun pandangan Maya mula berubah apabila Airil
(Iqram Dinzly), selebriti terkenal yang menjadi pujaannya mula
memberikan perhatian terhadapnya. (sumber: mymetro)
Bagaimana Maya menghadapi kehidupan
barunya yang kini terkenal di seluruh YouTube? Adakah Maya berdendam
dengan Amman kerana perkara itu? Semuanya akan terbongkar dalam siri
terbaru slot Aurora berjudul Alam Maya yang bakal disiarkan pada setiap
hari Khamis, jam 8.30 malam
No comments :
Post a Comment